Berita Harian 17/08/2008
Orang Melayu banyak kesabaran
Bersama Johan Jaaffar
'Perkauman' tidak ada dalam perbendaharaan kata mereka
ORANG Melayu pada dasarnya tidak perkauman. Jikalau tidak masakan sebuah kedai Cina boleh berjaya di tengah-tengah masyarakat Melayu di kampung. Malah kedai runcit milik Melayupun selalunya tidak maju jikalau bersaing dengan kedai milik Cina di kampung itu. Malah di banyak kampung Melayu di negara ini, sebaris kedai Cina menjadi tempat orang Melayu membeli barangan dapur, membetulkan motosikal dan basikal dan macam-macam lagi.
Hari inipun sikap orang Melayu terhadap 'orang lain' tidak banyak berubah. Mereka mungkin kecewa dengan penguasaan orang lain dalam bidang ekonomi. Mereka mungkin kesal kerana usaha meningkatkan usaha niaga orang Melayu tidak mencapai sasaran. Tetapi mereka tetap membeli dan menggunakan khidmat kaum lain dalam semua hal daripada membeli tong gas, membaik pulih peralatan elektrik, hinggalah memperbaiki kereta dan membeli simen dan kayu.
Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang sebuah organisasi akhbar, saya menerima banyak rungutan daripada orang Melayu bahawa kaum lain mengambil mudah sokongan mereka. Ada premis perniagaan yang acuh tak acuh menyediakan hiasan perayaan hari raya. Ada kedai rangkaian elektrik yang tidak langsung menggunakan orang Melayu dalam iklannya. Ada syarikat yang enggan mengiklan dalam akhbar-akhbar berbahasa Melayu. Ada juga syarikat yang terang-terang memilih pekerja daripada kaum tertentu.
Mereka bertanya apakah keadaan sebaliknya boleh berlaku? Apakah sebuah kedai Melayu boleh hidup di tengah-tengah masyarakat Cina? Apakah syarikat Melayu yang mendapat AP membawa masuk limau Mandarin sewaktu perayaan Tahun Baru Cina tidak menimbulkan kontroversi? Apakah rangkaian syarikat Melayu boleh mendapat dokongan kaum lain?
Saya pernah menulis tentang kuasa ekonomi orang Islam dan orang Melayu di negara ini tidak lama dulu. Menurut perangkaan 2007, terdapat 16.7 juta kaum Bumiputera di negara ini atau 61.7 peratus daripada jumlah rakyat. Daripada jumlah itu terdapat 13.7 juta orang Melayu atau 50.6 peratus. Jangan permudahkan kuasa beli kaum Bumiputera dan orang Melayu. Walaupun tidak ada angka rasmi bagi menunjukkan jumlah sebenar nilai kuasa beli mereka tetapi cukup untuk menjejaskan perniagaan dan urus niaga orang lain.
Mungkin agak keterlaluan untuk menyamakan orang Melayu dengan kedudukan orang Arab di Semenanjung Arab. Mereka punya angka. Tetapi mereka tidak punya kekuatan. Dan mereka tidak bersatu. Mereka tidak dapat berdepan dengan kekuatan kira-kira 7.1 juta rakyat Yahudi di Israel. Bezanya orang Melayu di Malaysia mempunyai kuasa politik. Hari ini mereka berpecah dan tidak bersatu. Dan mereka tidak ada kuasa ekonomi. Nampaknya kuasa politik orang Melayu pun hampir terhakis.
Malah, dalam usaha untuk memenangi hati kaum lain, ada kalanya pemimpin Melayu tersilap langkah. Dalam kes yang terbaru, seorang Menteri Besar yang sebelum ini diberi amanah memimpin sebuah agensi meningkatkan ekuiti orang Melayu, membuat kenyataan mengejutkan untuk membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada kaum lain. Saya tidak boleh membayangkan cadangan membuka kuota 10 peratus kepada kaum lain itu dibuat oleh orang seperti beliau yang selama ini menjuarai Agenda Melayu.
Mungkin juga keadaan berubah. Pemimpin Melayu sendiri merasakan bahawa salah satu cara untuk memenangi hati kaum lain ialah dengan mendekati mereka. Caranya ialah dengan membuat cadangan populis yang tujuannya memancarkan sikap keterbukaan dan melampaui pertimbangan kaum.
Sayangnya cara ini akan merosakkan orang Melayu sendiri.
Orang Melayu masih belum mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain. Dalam bidang ekonomi, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam apa bentuk, sifat atau semangatnya masih diperlukan. Usaha membantu usahawan dan ahli perniagaan Melayu belum berakhir. Malangnya terdapat kalangan pemimpin Melayu yang menolak DEB semata-mata kerana DEB tidak popular dengan kaum lain. Teras DEB ialah membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Lagipun DEB bukan dasar perkauman yang mencuri daripada orang lain untuk menjayakan orang Melayu. Selepas terlaksana DEB, kaum lain sebenarnya jauh lebih berjaya daripada orang Melayu sendiri. Kejayaan DEB pada orang Melayu tidak boleh diketepikan walaupun dengan kelemahannya kebocoran, ketirisan, nepotisme, dan lain-lain. Sistem dan cara perlu diperbaiki. Tetapi dasarnya perlu kekal.
Saya bangkitkan hal ini kerana nampaknya kesabaran orang Melayu mulai dicabar dengan cara yang luar biasa. Isu mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam sudah secara berani dan biadab dipersoalkan oleh sesetengah pihak secara terang-terangan. Dalam kes yang terbaru, Forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini tanpa mengira parti dan kepentingan. Majlis Peguam sepatutnya lebih prihatin isu yang sensitif itu. Mungkin Majlis Peguam mahu mengambil kesempatan daripada keterbukaan baru kerajaan. Tetapi membahaskan isu sensitif itu samalah seperti menjolok sarang tebuan.
Kemarahan banyak NGO Melayu terhadap Majlis Peguam bukan tidak berasas. Majlis itu harus tahu batas kebebasan dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia. Memang perbincangan terbuka dan cerdik dialu-alukan. Tetapi ada isu yang harus ditangani dengan hati-hati, dan bukan untuk debat terbuka.
Bagi generasi baru yang tidak memahami makna sensitiviti kaum lain, memanglah sukar untuk memberi justifikasi mengapa soal hak kaum tertentu dipersoalkan. Atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara, mengapa perlu dikawal perbahasan mengenai apa saja? Mengapa perlu dilesenkan penerbitan akhbar? Mengapa perlu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)? Semua itu dengan mudah dianggap bertentangan dengan semangat kebebasan dan hak asasi yang dilindungi oleh Perlembagaan Negara.
Sebelum ini timbul perbahasan mengenai isu 'kontrak sosial'. Masing-masing memberikan definisi apakah maksud ungkapan itu. Kontrak sosial bukan dokumen rasmi yang menjadi supplimen kepada Perlembagaan. Kontrak sosial lebih merupakan persetiaan semua pihak yang mencipta Perlembagaan tentang keperluan berkompromi, mengambil kira sensitiviti orang lain, pertimbangan kerakyatan dan lain-lain sebagai prasyarat membentuk sebuah negara bangsa.
Kontrak sosial itu lebih merupakan semangat persefahaman dan tolak ansur. Itulah yang menjadi asas pembentukan sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia. Hormatilah jerih perit pemimpin pelbagai kaum pada zaman Merdeka yang melihat jauh ke hadapan bagi memastikan terjalin harmoni dan muhibah sesama rakyat. Jikalau semangat itu tidak dihargai, kita akan menjurus pada kehancuran. Kestabilan akan terjejas dan kaum-kaum di negara ini akan berbalah.
Apakah itu harga kebebasan yang kita mahukan?
<< Home